Dua rekod kejohanan berjaya dipecahkan menerusi acara tumpuan, 4x100 meter lelaki dan wanita bawah 15 tahun, melibatkan pasukan Johor dan Selangor dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Panasonic, Shah Alam, hari ini.

Walaupun baru digabungkan, ia tidak menghalang kuartet lelaki B-15 Selangor melakar kejutan.

Bukan sekadar unggul dengan pingat emas, malah turut mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan 42.85s.

"Kami memang menyasarkan untuk memecah rekod sejak daripada sesi latihan.

"Kami juga telah mencipta rekod baru ketika saingan MSS Selangor dan Sabah pada tahun ini," kata wakil Selangor, Ammar Affendi Abdul Sahir.

Rekod sebelum ini dipegang Sabah dengan catatan 42.85s yang dilakukan pada 2016.

Tempat kedua acara itu diraih Johor dengan catatan 43.34s manakala Perak di kedudukan ketiga untuk gangsa.

Dalam acara sama, rekod kejohanan kategori wanita turut berjaya dipecahkan menerusi kuartet Johor dengan catatan 48.77s.

Kedah meraih pingat perak dengan catatan 49.13s manakala Selangor memperoleh gangsa.

"Dalam masa tiga atau empat tahun lagi, apabila mencecah usia 18 tahun, diharapkan mereka mampu untuk bersaing di peringkat lebih tinggi seperti Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN atau Kejohanan Remaja ASEAN," ketua jurulatih negara, Zainal Abas.

Keputusan lain 4x100m menyaksikan Sabah mengungguli kategori B-18 tahun lelaki dan wanita serta B-12 tahun lelaki sementara Sarawak pula cemerlang dalam acara 4x100m B-12 tahun wanita dan rejam lembing.