Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, mara ke pusingan akhir acara recurve individu lelaki dalam Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda malam tadi, sekali gus mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jaguh negara itu menewaskan lawan dari Bangladesh, Mohamad Ruman Shana, 7-3 di peringkat separuh akhir.

Lebih manis, pemanah kelahiran Terengganu itu berpeluang untuk bergelar juara dunia buat kali pertama selain meraih satu daripada empat tiket individu ke temasya Tokyo 2020.

Bagaimanapun, tumpuannya kini hanya untuk menewaskan pilihan utama dari Amerika Syarikat, Brady Ellison, di pentas final, awal pagi Ahad ini.

"Ini kali pertama saya layak ke final Kejohanan Dunia.

"Kejohanan Dunia bukanlah kejohanan yang mudah sebab semua peserta mahu merebut tempat ke Sukan Olimpik.

"Bagaimanapun, berdasarkan apa yang dikatakan jurulatih, panahan saya tidak banyak perlu diubah, cuma adakalanya ia agak kurang (tepat) sedikit," katanya.

Sementara itu, Khairul Anuar turut menjelaskan dia dan rakan-rakannya akan berusaha untuk memburu slot kelayakan bagi acara berpasukan lelaki menerusi kejohanan di Berlin tahun depan.

"Selepas ini, saya akan terus berusaha untuk mendapatkan tiket kelayakan acara berpasukan di Berlin.

"Apapun, saya tidak boleh kehilangan fokus kerana kami masih mempunyai satu lagi misi untuk diselesaikan," tambahnya.