Skuad ping pong Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Komanwel Ke-21 di Odisha, India, dengan meraih pingat gangsa menerusi acara berpasukan lelaki.

Malaysia, yang membariskan Leong Chee Feng, Ashraf Haiqal Rizal dan Chong Javen, dalam berpasukan lelaki, memulakan pusingan pertama dengan cemerlang apabila menjuarai Kumpulan C dengan menundukkan Nigeria dan Bangladesh.

Kejayaan itu diteruskan dalam saingan pusingan kedua dengan mengatasi Sri Lanka dan Wales sebelum tumpas 0-3 kepada tuan rumah, India, namun mereka masih layak ke separuh akhir menentang England.

Impian Malaysia untuk mara ke final, bagaimanapun, tidak kesampaian apabila dinafikan England 0-3 sementara penentuan tempat ketiga/keempat menentang negara jiran, Singapura, pula berkesudahan dengan keputusan sama.

Namun, ia tidak mengubah kedudukan Malaysia untuk mengiringi Singapura selaku pemenang gangsa yang menjadi pingat tunggal Malaysia dalam saingan itu.

Buat tonggak senior seperti Ashraf, ia satu pencapaian memuaskan dengan mengambil kira perjalanan mereka tersekat dalam pusingan kedua selepas cemerlang di peringkat kumpulan.

"Ini pingat pertama untuk pasukan lelaki negara dalam kejohanan ini tahun ini.

"Saya amat berpuas hati dan gembira dengan persembahan pemain dan berharap mereka akan berlatih dengan lebih gigih lagi menjelang Sukan SEA Filipina 2019," katanya.

Sebagai persiapan akhir menghadapi temasya dwitahunan itu, dia akan ke Belanda untuk memantapkan sentuhannya September depan.

"Saya harap langkah ini sedikit-sebanyak boleh meningkatkan permainan saya untuk menghadapi temasya itu," katanya.