Kejohanan Kebangsaan: Eain Yow hanya selangkah lagi ke final

Oleh Bernama 19 Julai 2019 134
Kejohanan Kebangsaan: Eain Yow hanya selangkah lagi ke final
Hasrat Ng Eain Yow untuk berhadapan musuh tradisinya, Ivan Yuen, di pentas akhir, sekali gus menebus kekalahan lalu, hampir tercapai apabila layak ke pusingan separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan, sebentar tadi.

Selaku pilihan utama, Eain Yow bertekad mahu meraih gelaran juara pertamanya dalam kejohanan yang berlangsung di Arena Skuasy Nicol David, Bukit Jalil itu selepas dengan mudah mengetepikan lawannya, Siow Yee Xian, 11-8, 11-6, 11-6.

"Saya yakin (untuk menang) walaupun Ivan adalah lawan yang sukar," kata Eain Yow.

Bakal bertemu Addeen Idrakie esok yang turut dianggapnya sebagai pencabar terkuat, pemain berusia 21 tahun itu bagaimanapun tidak berasa tertekan. 

"Tiada tekanan kerana saya hanya fokus satu perlawanan pada satu masa," katanya. 

Pemain di ranking ke-38 dunia itu perlu banyak belajar daripada kesilapan, terutama ketika tewas dalam Terbuka British baru-baru ini. 

"Itu kekalahan paling teruk saya dan ia memberi pengalaman yang sangat berguna. Ia sangat memberi motivasi, terutama untuk saya meningkatkan kecergasan," jelasnya. 

Terdahulu, Addeen yang turun selaku pemain pilihan ketiga, menghadapi saingan sengit sebelum berjaya menundukkan Ong Sai Hung 11-8, 9-11, 11-3, 11-4 manakala juara bertahan, Ivan, bakal bertemu Darren Rahul Pragasm selepas menewaskan Ryan Pasqual 12-10, 11-5, 11-6.

Bagi kategori wanita, juara bertahan, S. Sivasangari, mara ke separuh akhir dengan menewaskan Noor Aina Amani Ampandi 11-8, 11-9, 11-5. 

Pemain pilihan kedua itu akan bertemu Rachel Arnorld yang sebelum itu menewaskan Aifa Azman 11-9, 11-6, 11-5. 

Pilihan utama, Low Wee Wern, pula akan bertemu Chen Yiwen di gelanggang separuh akhir selepas menewaskan Lai Wen Li 11-4, 12-10, 11-5.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen