Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, berdepan misi menamatkan kemarau lima tahun untuk menakluki Kejohanan Kebangsaan apabila mencabar tiga acara di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, bermula esok.

Kali terakhir Azizulhasni menjuarai Kejohanan Kebangsaan ialah pada 2013 dalam acara keirin di Velodrom Cheras.

Sejak itu, tiada kelibatnya sama ada kerana berlatih di Melbourne, Australia atau kejohanan itu tidak dianjurkan.

Bagaimanapun, The Pocket Rocketman akan kembali merampas semula gelaran juara kebangsaan apabila menyertai tiga acara kali ini.

Azizulhasni dijangka berdepan tentangan sengit rakan sepelatih, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dalam keirin, pecut dan 1km ujian masa.

"Shah Firdaus dan Fadhil Zonis menunjukkan banyak peningkatan.

"Tetapi, buat masa ini, saya tidak fokus untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Kebangsaan kerana sasaran saya adalah lebih jauh ke hadapan, iaitu Sukan Asia," kata atlet kelahiran Terengganu itu.

Bagi saingan wanita, tumpuan terarah kepada persaingan Farina Shawati Mohd Adnan dan Fatehah Mustapa.

Farina perlu membuktikan bahawa dia pelumba terbaik wanita negara untuk mengibarkan cabaran dalam Sukan Asia Indonesia selepas mengetepikan Fatehah yang lebih senior.

"Sedikit-sebanyak saya perlu belajar untuk berdikari kerana mungkin selepas ini saya akan menyambung legasi Fatehah pula," kata Farina.