Welson Sim mengetuai senarai lima perenang negara yang layak menyertai Kejohanan Dunia 2019 di Gwangju, Korea Selatan, bulan depan tetapi wujud persoalan sama ada jaguh gaya bebas itu akan beraksi dalam kesemua lima acara yang ditawarkan atau tidak.

Atlet berusia 22 tahun itu dijangkan akan menjadi perenang negara yang paling sibuk di Gwangju tatkala dia melepasi had kelayakan kategori B dalam acara 100 meter, 200m, 400m, 800m dan 1,500m gaya bebas.

Dia yang berasal dari Sarawak itu akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai jumlah acara yang akan disertai.

"Pada awalnya, saya memasuki lima acara tetapi selepas membuat keputusan, saya melihat 100m, 200m dan 400m adalah pilihan yang pasti dan akan memilih salah satu di antara 800m dan 1,500m," katanya.

"Ia bergantung kerana semuanya gaya bebas tetapi seperti yang pernah dikatakan oleh Usain Bolt, berlari untuk 100m dan 10,000m adalah sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh sebilangan kecil atlet," tambah ketua jurulatih negara, Chris Martin.

Welson pernah beraksi dalam Kejohanan Dunia 2015 dengan menyertai tiga acara dan dalam saingan kali ini, dia mucul harapan terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara 200m apabila melakukan catatan 1 minit 47.48 saat, kurang 0.44s berbanding had kelayakan temasya itu.