Kejohanan Dunia: Tze Liang-Yiwei huni tangga ke-12

Oleh Staff Writer 13 Julai 2019 817
Kejohanan Dunia: Tze Liang-Yiwei huni tangga ke-12
Penerjun lelaki negara, Ooi Tze Liang-Chew Yiwei, sekadar menduduki tempat ke-12 dalam acara akhir 3 meter papan anjal seirama dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Gwangju, Korea Selatan, sebentar tadi.

Tze Liang-Yiwei sebelum itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 penerjun terbaik bagi melayakkan diri ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, gandingan itu mendapati saingan terlalu hebat dengan gagal memberikan terjunan yang kemas serta berkesan, sekali gus beroleh markah rendah, terutama ketika melakukan terjunan dengan darjah kesukaran yang tinggi.

Dalam dua terjunan pertama dengan darjah kesukaran yang rendah, pasangan Malaysia itu mengutip sejumlah 46.20 mata dan 48 mata untuk menduduki tangga kesembilan.

Tetapi memasuki terjunan ketiga dengan darjah kesukaran lebih tinggi, aksi pasangan Malaysia itu merosot dengan menduduki tangga ke-11 sebelum terus merudum ke tangga terakhir dalam terjunan keempat.

Dua terjunan terakhir Tze Liang-Yiwei juga tidak banyak memberikan perubahan kedudukan dengan penerjun negara itu menamatkan saingan dengan sejumlah 357.30 mata.

Emas dimenangi penerjun China, Xie Siyi-Cao Yuan dengan sejumlah 439.74 mata.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen