Kejohanan Dunia sasaran awal Syakilla

Oleh Staff Writer 23 Jun 2018 27
Kejohanan Dunia sasaran awal Syakilla
Atlet karate negara, Syakilla Salni Jefri Krisnan, menjelaskan misi paling besar buat dirinya tahun ini adalah memenangi saingan Kejohanan Dunia di Sepanyol, November depan, yang menjadi kriteria penting jika mahu menempah tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syakilla yang berada di ranking kedua dalam Liga Premier Karate1 dan ketujuh dunia dalam kategori bawah 55 kilogram, mengakui semakin berdebar menanti saingan paling penting dalam kariernya itu.

Kejohanan dua tahun sekali itu memberi tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo kepada Syakilla sekiranya dia mengesahkan tempat ke final.

Justeru, selepas Sukan Asia di Indonesia, Ogos nanti, tiada tempoh berehat buat Syakilla kerana dia perlu kekal fokus dalam melakukan persiapan dalam tempoh kira-kira lima bulan lagi.

"Perkara utama yang perlu saya hadapi adalah kejuaraan pada awal tahun ini. Kemudian, untuk merebut slot automatik ke Sukan Olimpik, jadi sasaran pertama adalah Kejuaraan Dunia. Jika lepas aksi kelayakan itu, seterusnya adalah Liga Premier," kata Syakilla.

Sementara itu, atlet kumite lelaki, R. Sharmendran, pula mahu membuktikan sesuatu dalam Sukan Asia walaupun banyak pihak berasakan atlet negara itu tidak memiliki kelebihan dalam kategori badan lebih berat.

Walaupun sedar acara itu sering didominasi atlet dari Iran dan Jepun, Sharmendran mahu membuktikan penguasaan itu dapat dipadamkan.

"Ia bukan tentang saiz badan tetapi saya bercakap tentang semangat. Ia tidak mustahil tetapi bergantung kepada kerja keras," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen