Gandingan negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee, akhirnya menamatkan kemarau Malaysia dalam Kejohanan Akuatik Dunia FINA edisi ke-18 apabila berjaya meraih perak dalam acara 10 meter terjun serirama di Gwangju, Korea Selatan, sebentar tadi.

Pandelela-Mun Yee menamatkan saingan di tempat kedua dengan memungut 312.72 mata selepas lima terjunan, sekali gus melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

China mengekalkan dominasi dalam acara tersebut, dengan Lu Wei-Zhang Jiaqi memastikan pingat emas selepas melakukan catatan 345.24 mata manakala gandingan Amerika Syarikat, Samantha Bromberg-Katrina Young, berpuas hati dengan pingat gangsa (304.86 mata).

Keputusan itu menyaksikan peningkatan dalam pencapaian Pandelela dan Mun Yee selepas mereka meraih pingat gangsa dalam dua edisi sebelum ini -- 2009 di Rome dan 2013 di Barcelona.