Masih segar bergelar juara Mr Asia buat kali keempat di India awal bulan lalu, misi jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, kini beralih untuk mencipta hatrik dalam Kejohanan Bina Badan Dunia di Chiang Mai, Thailand, bulan depan.

Bagi merealisasikan hasrat untuk mempertahankan gelaran dunia, Syarul yang mesra disapa sebagai Mike mengakui berdepan ujian berbeza dalam edisi kali ini.

Ini kerana dalam saingan Mr Asia yang lalu, Mike mendapati beberapa negara mengelak daripada mempertaruhkan atlet elit mereka yang bertujuan untuk merahsiakan kekuatan sebenar mereka menjelang Kejohanan Dunia.

"Sudah tentu saya lebih tertekan untuk menghadapi Kejohanan Dunia kerana mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar daripada memenanginya buat kali pertama.

"Apatah lagi ada negara yang tidak menghantar atlet elit mereka dalam saingan Mr Asia bulan lepas kerana mereka menyasarkan Kejohanan Dunia.

"Walaupun memenangi kejuaraan Mr Asia, namun di peringkat Kejohanan Dunia, tekanannya pasti lebih tinggi.

"Sudah tentu pemenang tempat kedua, ketiga mahupun muka baru akan mengkaji pemenang tahun lepas.

"Pasti mereka merujuk kepada pemenang terdahulu untuk dikalahkan.

"Oleh itu, saya perlu memastikan sentiasa selangkah di hadapan mereka

"Saya kini berada di landasan terbaik (untuk menghadapi Kejohanan Dunia).

"Saya yakin dan sudah bersedia untuk menghadapinya," kata atlet berusia 45 tahun itu.

Justeru, Mike kini dalam persiapan terakhir, khususnya membabitkan pemakanan memandangkan persiapan sudah 80 peratus lengkap.

"Tiada istilah 'hari culas' sebaik saya mengamalkan diet pemakanan yang ketat.

"Bahkan, dalam soal pemakanan, saya sendiri yang membuat persediaan," tambahnya.

Selain aspek pemakanan, Mike amat menitikberatkan rutin latihannya bagi mendapatkan bentuk badan idaman di samping mengelak kecederaan demi terus menggenggam gelaran juara.

"Saya menjadi jurutera ke atas tubuh badan sendiri.

"Saya tidak boleh berlatih lebih daripada dua jam. Kalau tidak, saya akan mula membakar kalori otot saya," katanya.