Harapan untuk lagu Negaraku berkumandang di bumi Belanda tersekat dalam Kejohanan Memanah Dunia apabila atlet kelahiran Terengganu, Khairul Anuar Mohamad, terpaksa akur tewas dalam aksi pusingan penentuan recurve perseorangan lelaki kepada pemanah nombor tiga dunia dari Amerika Syarikat, Brady Ellison, sebentar tadi.

Aksi permulaan dalam set pertama memperlihatkan Khairul Anuar berada di kedudukan terbaik apabila berjaya mengikat Brady 27-27.

Panahan set kedua hingga set kelima jelas memperlihatkan aksi terbaik daripada kedua-dua pemanah apabila saling bertukar mata pada jarak yang begitu rapat.

Atlet berusia 27 tahun kelahiran Kemaman itu ketinggalan satu mata dalam set keempat, namun bangkit dalam set berikutnya untuk mengheret final itu ke pusingan penentuan.

Bradly yang memulakan panahan memperoleh 10 mata, sekali gus memberi tekanan buat Khairul yang menamatkan panahan dengan lapan mata untuk terpaksa akur di tempat kedua.

Bagaimanapun, kemaraan Khairul ke aksi final mengesahkan tiketnya beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo.

"Saya sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama meraih pingat perak dalam Kejohanan Dunia. Semua orang mengetahui bukan mudah untuk mencapai ke tahap ini. Ini merupakan pengalaman yang baik buat saya," kata Khairul.