Hasrat atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) 2019 bakal tercapai apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilihnya mengisi slot peluang khas.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar, hari ini, sekali gus menjawab persoalan siapakah yang bakal menjadi wakil tunggal negara dalam kejohanan berprestij itu di Doha, Qatar, dari 28 September hingga 6 Oktober depan.

"Kami sudah buat proses pemilihan yang adil untuk semua atlet dan mereka pun faham di mana kedudukan mereka. Perbincangan antara jurulatih mendapati Hup Wei merupakan atlet terbaik ke Doha berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh IAAF," katanya.

Beliau berkata KOM berharap atlet berusia 32 tahun itu akan menggunakan kejohanan tersebut sebaik mungkin untuk meningkatkan prestasinya ke tahap yang lebih baik menjelang Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Malaysia hanya boleh menghantar seorang atlet melalui peluang khas ke kejohanan itu selepas tiada seorang pun atlet negara berjaya melepasi syarat kelayakan secara merit.

Kelayakan merit untuk acara lompat tinggi ialah 2.30m dan Hup Wei mempunyai 2.27m sebagai catatan terbaik peribadinya bagi musim ini manakala pemegang rekod kebangsaan (2.30m), Nauraj Singh Randhawa, mempunyai catatan 2.26m.

Bagi ranking dunia IAAF pula, Hup Wei berada di tangga ke-21 dengan 1,210 mata manakala Nauraj berada di tempat ke-49 dengan 1,155 mata.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil, berkata antara kriteria untuk pemilihan ke Doha ialah kedudukan mata dan ranking dunia.

"Pertamanya, berdasarkan kedudukan mata peringkat antarabangsa, Hup Wei berada di kedudukan lebih tinggi berbanding pelari pecut, Jonathan Nyepa, yang berada di kedudukan ke-318 (1,082 mata)," katanya.

"Kemudian, sekiranya atlet di peringkat antarabangsa tidak memenuhi kuota 32 tempat untuk layak secara merit, maka atlet yang tidak layak akan dipilih menerusi ranking dunia. Maka, dia berada di kedudukan terbaik untuk ke Doha dan kami telah pun e-mel kepada IAAF."

Untuk rekod, Hup Wei pernah meraih emas dalam Kejohanan Asia 2017 dan juga pemenang pingat emas tiga kali Sukan SEA.

-- BERNAMA