Kejohanan Dunia FINA: Pandelela pamer terjunan tidak menentu 

Oleh Staff Writer 17 Julai 2019 3253
Kejohanan Dunia FINA: Pandelela pamer terjunan tidak menentu 
Setelah meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama Kejohanan Dunia FINA 2019, hasrat Pandelela Rinong untuk meneruskan momentum dalam acara individu pula tidak kesampaian apabila menamatkan saingan di tangga kelima, sebentar tadi.

Pandelela memulakan terjunan dengan darjah kesukaran 3.0 dan seakan-akan mempunyai peluang cerah menaiki podium setelah berjaya mengutip 70.50 mata dalam kempen di Gwangju, Korea Selatan itu. 

Atlet dari Sarawak itu memperbaiki persembahannya dalam terjunan seterusnya untuk menempatkan diri di kedudukan kedua setelah mencatat 73.95 mata.

Namun, prestasi Pandelela mula merudum dalam terjunan ketiga dan hasratnya untuk menggenggam pingat kian pudar apabila gagal mengambil kesempatan dalam darjah kesukaran 3.2 untuk tergelincir ke kedudukan kelima selepas meraih 70.40 mata.

Terjunan keempatnya juga mirip terjunan sebelumnya yang menyaksikan dia hanya meraih 62.40 mata dan jatuh ke tangga keenam.

Selepas lima terjunan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu menamatkan saingan di tangga kelima dengan kutipan 349.25 mata keseluruhan.

Dua tangga teratas didominasi penerjun China, Chen Yu Xi dan Lu Wei, sementara penerjun Amerika Syarikat, Delaney Schell, di tangga ketiga.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen