Gandingan negara, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng, gagal meraih pingat dalam Kejohanan Terjun Dunia FINA Ke-18 apabila sekadar menduduki tempat kelapan dalam final acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Pusat Akuatik Antarabangsa Nambu, Gwangju, Korea Selatan, hari ini.

Gandingan negara itu, yang menduduki tangga keenam dalam pusingan kelayakan, gagal mempamerkan aksi memberangsangkan apabila memperoleh 277.35 mata dalam lima terjunan yang dilakukan.

Kegagalan gandingan negara itu ke podium menyaksikan mereka terlepas peluang layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pasangan China, Wang Han dan Shi Tingmao, menampilkan aksi konsisten untuk merangkul pingat emas dengan meraih 342 mata, diikuti gandingan Kanada, Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu, (311.10 mata) manakala pingat gangsa milik gandingan Mexico, Paola Espinosa Sanchez-Nelany Hernandez Torres, dengan 294.90 mata.

Sementara itu, gandingan muda negara, Hanis Hazirul Jaya Surya dan Jellson Jabilin, hampir layak ke final 10m platform seirama lelaki apabila menduduki tangga ke-13 dengan hanya dibezakan 2.58 mata di belakang penerjun Armenia, Vladimir Harutyunyan-Lev Sargsyan, yang menempah slot terakhir 12 gandingan ke final.

Gandingan negara itu, yang melakukan penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia, mengakhiri terjunan keenam dengan mengumpul 333.90 mata.

-- BERNAMA