Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, tidak rela episod kecundang dalam Kejohanan Dunia berulang apabila jaguh negara itu sekali lagi akan mencuba merebut gelaran juara dunia buat kali kedua di Puzkow, Poland, 27 Februari depan.

Tahun lalu, Azizulhasni gagal membawa pulang sebarang gelaran atau pingat daripada Kejohanan Dunia di Apeldoorn, Belanda.

Demi memastikan dia tidak mengalami situasi sama di Poland, Azizulhasni mengambil risiko menarik diri daripada dua saingan Piala Dunia di New Zealand dan Hong Kong yang menawarkan mata ranking Olimpik, semata-mata mahu membuat persiapan rapi bagi menghadapi Kejohanan Dunia.

"Untuk kali ini, saya bermotivasi kerana ia juga merupakan sebahagian daripada kelayakan Olimpik. Keadaan kesihatan pun berada di tahap terbaik, jadi saya perlu fokus selama empat minggu dalam sesi latihan terakhir di Melbourne," katanya.

Dalam masa sama, Azizulhasni mengimpikan untuk membawa pasukan pecut negara melayakkan diri ke saingan Olimpik Tokyo 2020 di mana kali terakhir dia beraksi adalah ketika edisi 2008 Beijing bersama Rizal Tisin dan Josiah Ng.

Ketika ini, Malaysia menghuni tangga ke-13 ranking Olimpik Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan hanya lapan pasukan terbaik dapat beraksi dalam temasya itu.

"Kalau dapat layak menerusi pecut berpasukan, ia adalah kali kedua selepas Beijing 2008. Jika melakukannya, kami juga meraih satu lagi slot untuk keirin dan pecut, jadi mungkin Shah Firdaus Sahrom atau Fadhil Mohd Zonis boleh beraksi."