Pemburuan dua tempat teratas menjadi misi penting buat skuad negara dalam Kejohanan Dodgeball Asia di Hong Kong yang menawarkan slot Piala Dunia 2020.

Skuad kebangsaan akan berlepas ke Hong Kong untuk mengharungi penampilan ketiga di pentas Asia sejak 2017 selepas menjalani latihan intensif selama lapan bulan di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam.

Seramai 59 pemain dan pegawai terlibat dalam empat kategori yang dipertandingkan, iaitu lelaki, wanita, campuran serta kategori baru, berpasukan bawah 21 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, optimis ada ruang buat pasukan negara untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2020 yang akan berlangsung di Mesir.

"Banyak penambahbaikan yang telah dilakukan bagi memastikan sukan dodgeball diterima semua pihak, termasuk masuk ke peringkat sekolah dan universiti.

"Saya boleh katakan bahawa perkembangan positif dapat dilihat, jadi saya harus ucapkan tahniah buat mereka serta selamat maju jaya bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia kali ini," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad lelaki kebangsaan, Heidy Mohd Yusof, percaya pasukan Australia yang menduduki ranking ketiga dunia akan menjadi pencabar utama dalam saingan di Hong Kong itu.

"Jelas sekali Australia dan Hong Kong akan menjadi pesaing utama. Kami akan lakukan yang terbaik untuk berdepan tuan rumah dan skuad yang menduduki tangga ketiga dunia dalam usaha kembali bergelar juara Asia," ujarnya.

"Kami bermula sebagai underdog dan sekarang untuk Kejohanan Dodgeball Asia, kami akan mempertahankan ketiga-tiga kategori dan ia bukan tugas yang mudah.

"Latihan adalah yang paling mencabar memandangkan kami pemain semi-pro dan semua mempunyai pekerjaan sendiri. Selepas pukul 5 petang, kami perlu berlatih sehingga jam 12 tengah malam," tambahnya.