Jurulatih negara, Sallehudin Mohd Noh, berkata misi Malaysia masih belum tercapai di sebalik permulaan cemerlang kontinjen negara meraih lima pingat emas dalam Kejohanan Berbasikal Para Malaysia 2019.

Acara lebuhraya ujian masa membuka tirai pada hari pertama saingan hari ini dengan Malaysia cemerlang memungut lima emas daripada 12 acara dipertandingkan.

Antara penyumbang emas negara adalah Najib Turano, Norfaizah Aziz serta Yusof Hafizi Shaharuddin di samping gandingan Nur Azlia Syafinaz bersama pemandu arah, Nur Asyira Zainal Abidin, serta gandingan Aiman Asyraf Ahmad Bajuri bersama Mohd Nur Ridzuan Zainal.

Namun, keutamaan Malaysia adalah lebih khusus mendapatkan mata sebanyak mungkin untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Alhamdulillah, kebanyakan pelumba negara menang dalam saingan ini dan mendapat beberapa emas dalam kategori masing-masing. Ini juga menjadi persiapan kepada Sukan Para ASEAN tahun depan," katanya.

Setakat ini, Malaysia sudah pun meraih satu slot berdasarkan kedudukan ranking mereka di Asia, dengan berada di tangga kedua pada 2018.

Skuad berbasikal para akan meneruskan saingan dalam Kejohanan GP Trek Asia Tenggara bermula hari ini bagi pemburuan mata untuk kelayakan ke Tokyo 2020.

"Kami mendapat tempat pertama dalam tandem, begitu juga dengan pelumba lain. Jadi, ia penting untuk dibawa ke Paralimpik Tokyo nanti. Alhamdulillah kami meraih banyak mata dan akan terus melakukan aksi terbaik ketika saingan di trek nanti," ujar Najib.