Kejohanan Asia di Bangladesh dan saingan Terbuka Belgium menjadi keutamaan pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, dalam memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) tahun ini selepas dia sah tidak akan beraksi di pentas Sukan SEA Filipina 2019.

Jufferi tidak akan menyertai Sukan SEA edisi 2019 buat julung kalinya selepas Filipina hanya menyenaraikan lima kategori, tidak termasuk kelas E Putera.

Juara dunia 2016 itu mengakui terkilan apabila dia tidak pernah terlepas meraih pingat emas dalam temasya dwitahunan itu sejak 2011 selain masih terkesan dengan kegagalan dalam Sukan Asia dan Kejohanan Dunia tahun lalu.

Justeru, dua kejohanan antarabangsa di Bangladesh dan Belgium itu perlu diambil serius untuk Jufferi memenuhi KPI baru yang diletakkan kepadanya dalam kontrak tahun ini.

"KPI saya yang pertama adalah Terbuka Belgium 2019 dan Kejohanan Asia. Itu sahaja yang saya dapat lihat dalam kontrak," kata Jufferi.

"Saya perlu jaga prestasi. Saya akan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk fikirkan semuanya, jadi apa pun yang berlaku, itu adalah keputusan saya sendiri.

"Setakat ini, saya belum menerima sebarang tawaran daripada luar kerana minat saya terhadap sukan ini masih kuat. Cuma, saya perlu pertimbangkan beberapa aspek seperti elaun. Apa yang penting, saya perlu menjaga KPI saya."

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, tidak terkesan dengan ketiadaan Jufferi dan seorang lagi juara dunia, Siti Rahmah Mohd Nasir, di pentas Sukan SEA 2019 sambil menyifatkan peluang lebih terbuka buat pesilat lain untuk menyerlah.

"Kalau untuk Jufferi, terlampau mustahil untuk dia bertukar kelas kerana lemak pada badannya hampir tiada. Segalanya otot sahaja. Saya tidak akan menggalakkan," ujarnya.