Jadual padat dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai bermula esok bukan alasan untuk pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, untuk tidak memburu pingat emas sulung kejohanan itu sejak lima tahun lalu.

Pelumba itu antara taruhan Malaysia untuk merangkul pingat emas acara keirin dan pecut individu lelaki.

Atlet berusia 24 tahun itu mengalami masalah kesihatan sejak semalam, namun ia tidak akan menghalangnya untuk menamatkan kemarau emas kejohanan berkenaan sejak 2014.

"Masa lima tahun lalu itu kita masih belum memiliki velodrom dalaman, jadi sekarang (di Nilai) saya harap dapat sesuatulah," katanya.

Shah Firdaus meraih emas acara pecut individu lelaki dalam Kejohanan Asia Tenggara di Velodrom Cheras pada 2014.

Selain pelumba itu, Malaysia turut meletakkan harapan kepada jaguh utama, Azizulhasni Awang, dan rakan sepelatihnya di Melbourne, Mohd Fadhil Zonis.

"Keadaan saya masih belum 100 peratus.

"Kami banyak menghabiskan latihan di gim.

"Jadi, dalam perlumbaan, saya mahu mencuba perkara baru," tambahnya.