Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan sasaran kepada dua pelumba utama, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, untuk meraih pingat dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) saingan trek yang bermula 16 Februari ini.

Selepas enam tahun, saingan ACC kembali dianjurkan di Malaysia dengan Velodrom Nasional di Nilai bakal menguji kemampuan pelumba terbaik di rantau Asia.

Dianggarkan hampir 460 peserta, termasuk daripada kategori para, akan mengambil bahagian -- jumlah terbesar yang pernah dicatatkan dalam sejarah pertandingan.

Selaku tuan rumah, Malaysia dijangka memberikan cabaran sengit, apatah lagi ini merupakan peluang untuk memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab, mengakui hanya Azizulhasni dan Fatehah dilihat mempunyai peluang seimbang bagi memburu pingat.

"Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menyedari Azizulhasni dan Fatehah mampu mengekalkan catatan masa terbaik masing-masing. Kami meletakkan harapan kepada mereka," katanya.

Jelasnya lagi, Velodrom Nasional sudah bersedia untuk menganjurkan kejohanan itu dengan beberapa pelumba luar negara sudahpun menguji venue berkenaan.

"Ada pelumba-pelumba yang datang awal untuk berlatih di velodrom. Pada 12, 13 dan 14 Februari, ia ditutup bagi memberi ruang kepada pelumba negara," tambahnya.