Jurulatih sementara skuad renang negara, Jeffery Ho Chiah Liang, menganggap kejayaan Welson Sim meraih dua pingat emas dalam KejohananTerbuka Victoria dengan menewaskan juara Sukan Olimpik bukan sesuatu yang mengejutkan.

Catatan Welson dalam acara 200 meter dan 400m gaya bebas di Melbourne, Australia tidak cukup baik walaupun menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Mack Horton.

Perenang kelahiran Kuching, Sarawak itu melakukan catatan 1 minit 49.41 saat dalam saingan 200m, lebih dua saat berbanding rekod kebangsaan miliknya.

Jika dibandingkan dengan Olimpik Rio 2016, catatan tersebut berada di ranking ke-37 keseluruhan.

Situasinya hampir sama untuk 400m gaya bebas, sekali gus membuktikan majoriti perenang lain baru memulakan program latihan mereka.

Bagaimanapun, Welson wajar mendapat pujian selepas memecahkan rekod kebangsaan 800m gaya bebas dengan masa 8 minit 9.77s, kurang 3 saat berbanding rekod lama miliknya yang dilakukan pada 2015.

"Saya difahamkan perenang lain baru kembali daripada latihan dan mereka tidak berada di tahap terbaik. Jadi, catatan Welson tidaklah begitu buruk. Bagus apabila mengatasi perenang Olimpik bagi mendapatkan keyakinan walaupun catatan masa lebih penting," ujar Jeffery.

Sementara itu, perenang muda, Jordan Yip, akan mengikut jejak Welson berlatih di luar negara apabila menerima tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.

"Program itu agak berbeza. Jurulatih lebih menekankan aspek di dalam air serta semangat berpasukan. Ia memberikan motivasi buat anda," kata Jordan.