Malaysia mahu memperluaskan pencarian bakat dalam sukan dodgeball susulan kejayaan berganda skuad negara dalam Kejohanan Dunia di Toronto, Kanada, dengan tumpuan kini terarah kepada pelajar-pelajar institusi pPengajian tinggi awam (IPTA) dan sekolah-sekolah di Malaysia.

Biarpun Malaysia bergelar juara dunia dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita, ketua jurulatih negara, Albert Tan Yi Wey, menjelaskan misi utama Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) kini mahu memperkenalkan sukan itu kepada kelompok masyarakat yang lebih luas agar lebih dikenali.

Malaysia mempunyai prospek yang bagus untuk menyerlah dalam sukan tersebut walaupun baru sahaja berkembang sejak sembilan tahun lalu dan ketika ini, terdapat 30 kelab yang bernaung di bawah MAD.

“Kami perlu menyentuh terhadap pembangunan di sekolah-sekolah dan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan diperlukan dan kelulusan sudah diterima daripada mereka.

“Antara perkara yang akan kami lakukan adalah mengadakan bengkel dan klinik,” kata Albert.

Malaysia berjaya pulang dengan kejayaan berganda daripada aksi di Toronto pada 21 Oktober lalu, selepas skuad wanita berjaya mempertahankan kejayaan yang dimenanginya tahun lalu manakala skuad lelaki akhirnya menebus kekecewaan dalam final dua tahun berturut-turut apabila menumpaskan Kanada dalam perlawanan akhir.

“Mempertahankan kejuaraan dunia sangat tertekan buat kami. Kami hanya melakukan yang terbaik dan memenangi pingat emas buat kali kedua. Ia tidak mudah kerana persaingan pada tahun ini dua kali ganda lebih sukar,” ujar kapten skuad wanita kebangsaan, Chong Hwei Xian.

“Sukan dodgeball baru berusia sembilan tahun di Malaysia dan ia masih baru buat rakyat Malaysia. Kejayaan meraih kejuaraan dunia bakal membuka mata mereka terhadap sukan ini,” tambah Robert Ng Chee Keong yang merupakan kapten bagi skuad lelaki negara.