Atlet angkat berat negara, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, menganggap kejayaan dalam Kejohanan Asia sebagai suntikan yang diperlukan untuk mencari semula sentuhan sebenar dalam Kejohanan Dunia, September depan.

Kejohanan Asia itu merupakan penampilan pertama Azroy dan rakan skuad, Aznil Bidin, di pentas antarabangsa sejak Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sebelum ini mengambil pendekatan menggantung penyertaan atlet ke luar negara bagi memulihkan sukan itu daripada gejala doping.

Keputusan Azroy dalam Kejohanan Asia yang berlangsung di Ningbo, China menyaksikan dia meraih pingat perak bagi kategori 55 kilogram susulan angkatan 112 kg bagi snatch dan 136 bagi clean and jerk.

Meskipun bebanan angkatannya tidak mencapai rekod terbaik peribadi, Azroy setidak-tidaknya mengulangi pencapaian idolanya, Amirul Hamizan Ibrahim.

"Keputusan angkatan memang saya tidak puas hati tetapi meraih pingat dalam kejohanan ini adalah sesuatu yang membanggakan kerana mengikut jejak langkah idola saya," katanya.

Memandangkan kategori Azroy tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, aspirasinya kini beralih kepada Kejohanan Dunia di Pattaya, Thailand yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 27 September depan.

"Saya mengambil langkah untuk memberikan tumpuan kepada Kejohanan Dunia dengan sasaran menjadi atlet Malaysia pertama meraih pingat di pentas ini," ujarnya.