Pemanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad, menganggap kejayaannya meraih pingat perak dalam Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda, kelmarin sebagai pemangkin penting untuk memburu pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Kejayaan itu tiba selepas dia memberikan cabaran sengit kepada pemanah di ranking ketiga dunia dari Amerika Syarikat, Brady Ellison, sehingga mengheret perlawanan final ke penentuan shoot-off sebelum tewas 5-6.

Atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu turut mencipta sejarah sebagai pemanah pertama negara meraih pingat dalam kejohanan berkenaan.

Kejayaan itu menyaksikan dia menempah slot automatik ke Tokyo, sekali gus diletakkan sebagai antara prospek pingat emas pertama negara dalam temasya itu.

"Pingat ini dapat memberikan semangat untuk menghadapi Sukan Olimpik," katanya setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

"Saya berasa amat tertekan dalam kejohanan ini selepas kami tidak layak dalam acara berpasukan.

"Tekanan itu tiba ketika saya sedang berusaha untuk layak ke Sukan Olimpik, namun saya berkongsi dengan jurulatih untuk memberikan sedikit kelegaan.

"Bagaimanapun, tekanan itu tetap tinggi," ujarnya.

Khairul Anuar kini mengalihkan tumpuannya untuk memburu slot kelayakan dalam acara berpasukan.

"Buat masa ini, kami masih memberikan tumpuan untuk melayakkan diri dalam acara berpasukan.

"Saya akan tetap fokus dalam kejohanan individu selepas ini, namun kami mengutamakan kelayakan bagi acara berpasukan," tambahnya.