Perenang negara, Welson Sim, sanggup mengambil risiko untuk mempertahankan pingat emas acara 400m gaya bebas Terbuka Malaysia yang akan bermula esok walaupun mengalami kecederaan buku lali ketika berlatih di Gimnasium Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil.

Welson sanggup mengetepikan kecederaan buku lali demi mencatat kejuaraan hatrik dalam acara kegemarannya itu di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Doktor menasihatkan perenang kelahiran Sarawak itu agar berehat selama sebulan, namun dia kesuntukan masa untuk membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

"Kaki kiri saya masih lemah dan tidak dapat beraksi di tahap sebenar. Selepas aksi Sukan Komanwel, saya banyak menekankan aspek ketahanan dan diharapkan segera pulih," kata Welson.

"Ia adalah Terbuka Malaysia dan saya mahu mencuba yang terbaik walaupun masih cedera," tambahnya.

Welson akan turut beraksi dalam acara 200m dan1,500m gaya bebas dan untuk rekod, dia sudah melepasi had kelayakan ke Sukan Asia dalam acara 200m dan 400m gaya bebas.