Kecederaan telinga tidak menghalang ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, untuk memberi saingan sengit dalam Kejohanan Ski Air Dunia 2019 Persekutuan Luncur Air & Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Pusat Sukan Air, Presint 6, di Putrajaya, esok.

Walaupun mengalami kecederaan ringan di telinga semasa latihan baru-baru ini, Aaliyah, 16, berkata dia sangat teruja untuk membuat persembahan hebat di hadapan peminat tempatan dalam kejohanan dwitahunan itu yang berlangsung sehingga Ahad ini.

"Pakar perubatan menasihatkan saya supaya berehat sekurang-kurang dua minggu tetapi saya amat teruja untuk menyertai Kejohanan Dunia ini yang akan diadakan di tempat saya meluncur sejak kecil lagi," katanya dalam sidang media prakejohanan di Putrajaya, hari ini.

Jurulatih kelahiran Perancis, Marian Malaquin, yang melatih skuad kebangsaan, menyatakan keyakinan bahawa anak buahnya itu akan memperagakan aksi yang cemerlang walaupun berdepan cabaran daripada barisan peserta utama dunia.

Persekutuan Ski Air & Wakeboard Malaysia (MWWF) telah mendapatkan khidmat jurulatih berusia 38 tahun itu bagi mempersiapkan skuad negara dalam menghadapi kejohanan tersebut.

Selain Aaliyah, Malaysia akan turut diwakili dua adik lelakinya, Aiden, 12, dan Adam, 10, serta Nadiah Nasir, 23 tahun.

Sejumlah 168 peserta dari 39 negara akan bersaing dalam tiga kategori -- slalom, tricks dan jump -- bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Pusingan awal bermula esok sehingga Jumaat ini manakala pusingan akhir pada Sabtu dan Ahad.

-- BERNAMA