Jim Furyk berasa amat teruja melihat Tiger Woods kembali bersaing untuk gelaran utama sambil tarikh akhir untuk dia memutuskan pemilihannya selaku kapten Piala Ryder semakin hampir.

Dengan mengundang keghairahan dunia golf semula, Woods menemui rentaknya dalam Kejohanan Terbuka British di Carnoustie 19-22 Julai lalu tetapi cabarannya tidak berpanjangan apabila dia berkesudahan di tempat keenam.

Woods sekali lagi berada dalam kelompok teratas dalam Kejohanan PGA Amerika Syarikat kelmarin dengan catatan cemerlang 64 pada hari terakhir merapatkannya dengan pendahulu, Brooks Koepka, untuk pemain berusia 42 tahun itu menyudahkan saingan di tempat kedua dengan perbezaan hanya dua pukulan.

Peningkatan prestasi Woods menyaksikan dia mendaki ke tangga ke-11 dalam ranking Piala Ryder dan dia kini adalah pilihan hangat untuk mendapat penyertaan ‘wild card’ di lapangan Le Golf National bulan depan.

Dalam pada itu, Furyk enggan mengesahkan sama ada Woods akan terjamin tempatnya dalam skuad juara bertahan Piala Ryder itu.

“Saya tidak pasti ranking adalah amat penting, sebaliknya apa yang penting ialah bagaimana Tiger bermain,” katanya dalam sidang media.

"Tempat keenam dalam Terbuka British, tempat kedua dalam Terbuka PGA, permainannya kini menjadi tular.

“Adalah hebat untuk menyaksikannya bermain cemerlang. Angka-angka adalah cantik tapi bukan yang terpenting. Kami mahukan pemain-pemain yang boleh membuat kami berjaya.

“Dia sedang bermain dengan cemerlang dan saya tahu ramai yang berfikir dia boleh membantu kami tapi kami mahu bercakap mengenai lapan pemain teratas hari ini.

“Tapi saya menyedari dia sedang bermain dengan cemerlang dan saya berasa amat teruja untuk melihat itu,” katanya.

Selaku kapten, Furyk akan menamakan tiga pilihan pertamanya pada 3 September, dengan pemain terakhir bagi melengkapkan senarai akhir 12 pemain, dinamakan selepas Kejohanan BMW enam hari kemudian.

Menurutnya, pintu sentiasa terbuka buat beberapa pemain untuk meraih tempat dan sukar untuk menafikan peluang mana-mana pemain yang cemerlang dalam beberapa minggu mendatang.

Ketika ini, senarai lapan pemain teratas Furyk membariskan Koepka, Dustin Johnson, Justin Thomas, Bubba Watson, Patrick Reed, Jordan Spieth, Rickie Fowler dan Webb Simpson.

“Kami mempunyai beberapa lagi kejohanan besar yang akan menyusul, jadi kami akan berpeluang melihat siapa lagi yang cemerlang.

“Jika ada mana-mana pemain yang mengagumkan, pastinya dia tidak akan terlepas daripada pandangan kami,” katanya lagi.

Buat ketika ini, segala tumpuan terarah kepada Woods.