Ketiadaan pegawai persatuan sukan kebangsaan dalam Mesyuarat Bedah Siasat Pencapaian Sukan SEA Filipina bulan lalu mengundang persoalan mengenai komitmen persatuan untuk membantu atlet negara.

Sesi berkenaan boleh menjadi medan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi atlet mahupun jurulatih negara dalam temasya dwitahunan dari 30 November hingga 11 Disember lalu itu.

Sebaliknya, proses bedah siasat itu hanya dihadiri atlet dan jurulatih sementara proses hari ini membabitkan skuad luncur air dan memanah yang gagal mencapai misi yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama, skuad luncur air disertai pengurus pasukan, Hanifah Yoong, yang turut memegang jawatan dalam persatuan.

Dalam situasi ini, pembabitan penuh daripada pegawai persatuan dituntut kerana mereka lebih banyak berurusan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) memandangkan atlet dan jurulatih perlu memberikan tumpuan kepada sesi latihan.

Kesungguhan persatuan sukan untuk menyediakan laporan juga boleh dipersoalkan kerana dalam proses bedah siasat itu, dua pasukan masih gagal menyediakan laporan mereka.

Mesyuarat khas untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 pula akan diadakan Isnin depan dan daripada 10 persatuan kebangsaan yang terbabit, empat lagi gagal menyediakan laporan mereka bagi program latihan khas masing-masing.

Ikuti perkembangan lanjut dalam Nadi Arena seterusnya



Editor: Shaiful Shamsudin