Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) mahu menjadikan Sukan Sabah (SAGA) 2019 dari 7 hingga 13 Disember depan antara terbaik pernah dianjurkan.

Temasya dwitahunan itu bakal menyaksikan daerah kawasan pedalaman Sabah, iaitu Keningau, Tambunan, Tenom, Nabawan serta Sook, akan menjadi venue pertandingan.

Menterinya, Phoong Jin Zhe, berkata segala persiapan, termasuk venue pertandingan, gelanggang serta penginapan atlet dan pegawai kini sudah siap sedia untuk digunakan dan berada dalam keadaan baik.

"Hanya tinggal sedikit yang perlu diperbaiki dan dibina, termasuk kemudahan sampingan, namun kami jangkakan ia akan selesai menjelang temasya itu nanti.

"Secara keseluruhannya, persiapan untuk SAGA Ke-9 ini sudah lebih 90 peratus siap dan sudah pasti, kami mahu temasya yang kali pertama diadakan di bawah kerajaan baharu ini antara terbaik pernah dianjurkan.

"Saya juga percaya rakyat di pedalaman sangat teruja dan tertunggu-tunggu untuk temasya yang membabitkan kira-kira 10,000 atlet dari seluruh negeri ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan aplikasi dalam talian untuk tempahan kemudahan sukan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas, hari ini.

Phoong berkata pihaknya juga akan mengekalkan penggunaan teknologi tinggi untuk acara olahraga yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Nabawan nanti.

"Kita mahu pastikan SAGA ini mempunyai standard tinggi, termasuklah acara olahraga, kerana kita tidak mahu sekiranya ada rekod-rekod baru dicipta, ia tidak mendapat pengiktirafan.

"Selain itu, penggunakan teknologi tinggi seperti catatan masa dan penyukat angin ini juga membantu kita untuk memantau kebolehan atlet-atlet pelapis kita," katanya.