Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, sedang berbincang dengan semua jabatan di bawahnya untuk memastikan bekas atlet kebangsaan diberi keutamaan untuk mengisi jawatan kosong kerajaan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyedari jasa atlet kebangsaan perlu dibalas selepas mereka menabur bakti untuk mengharumkan nama negara.

Justeru, mereka akan diberikan keutamaan untuk memegang jawatan dalam KBS bergantung kepada kelayakan akademik mereka.

Ia salah satu cara untuk memastikan nasib bekas atlet terbela.

"Saya sudah memaklumkan kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar keutamaan diberikan kepada bekas atlet untuk bekerja di bawah mereka supaya pegawai mereka datangnya daripada penggiat sukan.

"Pada masa sama, kami akan bekerjasama dengan pihak kontraktor untuk memberikan pekerjaan kepada mereka jika terdapat kekosongan," katanya.

KBS dihujani persoalan mengenai hala tuju atlet yang ditamatkan kontrak daripada program sukan kebangsaan.

Antaranya bekas pelumba basikal para negara, Shukor Farhan Suliman dan Mohd Syazwan Roshdi.

KBS merancang untuk membina pusat hentian atlet di Bukit Jalil yang dijangka siap, Mac depan.

Terdahulu, Syed Saddiq merasmikan sistem pemilihan peserta KL Maraton di ibu kota, hari ini.

Sebanyak 70,000 permohonan diterima untuk menyertai perlumbaan pada September depan itu, sekali gus memaksa penganjur mengehadkannya kepada 40,000 penyertaan.