Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meminta penjelasan daripada pihak terlibat berhubung dakwaan 13 stadium di seluruh negara tidak selamat kerana didakwa tidak mempunyai Sijil Pematuhan Kod (CCC).

Timbalan Menterinya, Steven Sim, berkata penjelasan dan maklumat terperinci perlu diperoleh sebelum kementerian mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut.

"Kami perlu lihat dahulu perkara ini dengan pengurusan stadium yang terlibat dan juga bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tentang apa yang berlaku," katanya ringkas kepada pemberita di Temerloh, hari ini.

Sim ditemui selepas merasmikan penutupan Kejuaraan Silat Terbuka Cekak Harimau Malaysia 2019 di Dewan Tun Razak yang melibatkan 601 pesilat daripada 44 pasukan dari dalam dan luar negara.

Sebuah media tempatan hari ini melaporkan 13 stadium di seluruh negara tidak selamat kerana tidak mempunyai CCC atau juga dikenali sebagai Sijil Layak Menduduki (CF) yang berisiko mengundang bahaya.

Laporan itu memetik Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Zamri Che Din, sebagai berkata perkara itu disebabkan binaannya sudah menjangkau 20 tahun sehingga menyebabkan ia tidak mematuhi ciri keselamatan berkaitan CCC.

Zamri berkata CCC penting bagi memastikan bangunan itu mempunyai ciri keselamatan optimum membabitkan pendawaian, laluan keselamatan dan pencegahan awal kebakaran.

-- BERNAMA