Impian skuad lelaki dan wanita untuk layak ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2021 buat kali pertama lebur apabila tewas kepada Kazakhstan.

Skuad lelaki terlepas peluang ke Piala Dunia selepas kekalahan tipis 4-3 kepada Kazakhstan dalam separuh akhir sementara skuad wanita juga tewas 1-2 kepada negara itu dalam Piala Asia 2019 di Chonburi, Thailand, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir lelaki, Malaysia bermula baik dengan kelebihan dua gol hasil jaringan pada minit keempat oleh Muhamad Aminudin Mohd Zain dan Mohd Shafiq Yaakob, sebelum naib juara dua kali, Kazakhstan, merapatkan jurang melalui Yermek Tashkeyev pada minit ke-16.

Dalam babak kedua, Malaysia sekali lagi mendahului apabila Muhammad Firdaus Omar merembat masuk hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-22 tetapi Kazakhstan bangkit melalui dua pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Daulet Urmanov pada minit ke-27 dan 30 sebelum mendahului melalui Yermek empat minit kemudian.

Malaysia selaku naib juara empat kali memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan menerusi pukulan penalti tetapi gagal memanfaatkan peluang dan dengan itu akan menentang Uzbekistan dalam perlawanan menentukan tempat ketiga/keempat esok.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, juara bertahan enam kali, Iran, membelasah Uzbekistan 9-1.

Terdahulu, dalam separuh akhir wanita, juara bertahan, Kazakhstan, membuka jaringan melalui gol padang oleh kapten pasukan, Natalya Gataulina, pada minit keenam untuk muncul sebagai penjaring terbanyak dengan sembilan gol setakat ini.

Dalam babak kedua, Kazakhstan, yang memburu gelaran keenam, menambah jaringan melalui Vera Domashneva pada minit ke-22 dan Malaysia berjaya merapatkan jurang 10 minit kemudian melalui Ellya Amanina Ellias.

“Kita memang berhabis-habisan hari ini, kita ada peluang, cuma kebanyakan peluang kita tak dapat sempurnakan dengan baik.

"Tapi saya sangat kagum dengan semangat pemain dan kebanyakan daripada mereka adalah bawah 20 tahun.

"Jadi, kalau ada program yang baik untuk edisi seterusnya, saya rasa keputusan akan lebih bagus,” kata jurulatih skuad wanita, Yahya Atan, kepada Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Malaysia, selaku naib juara 2017, seterusnya akan berdepan Uzbekistan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat esok. Uzbekistan terdahulu tumpas 5-3 kepada Thailand.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum itu berkata finalis kategori lelaki dan juara kategori wanita akan layak ke Piala Dunia 2021 tetapi hari ini menjelaskan bahawa hanya juara akan menempah slot ke sana.

-- BERNAMA