Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, tidak akan mengundurkan diri walaupun Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak permohonannya berhubung pelucutan jawatan ahli majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Karim akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai presiden KOM walaupun reputasinya tercemar akibat keputusan CAS menolak rayuannya itu.

Setakat ini, semua program yang melibatkan olahraga dijalankan seperti biasa dan Karim yakin dia masih menerima kepercayaan ahli majlis KOM kerana sehingga kini tidak kedengaran sebarang gerakan untuk melancarkan undi tidak percaya untuk menggugat jawatannya selaku presiden.

Sebelum ini, terdapat individu yang membuat laporan kepada IAAF mengenai salah laku pertuduhan yang membabitkan Karim serta kes doping sewaktu Sukan SEA 2011 sehingga membuatkan IAAF mengambil tindakan terhadap Karim.

Mengenai perkembangan pengendali skuad pecut negara, David Patrick, perbincangan sedang dijalankan bagi mendapatkan kata putus terhadap gaji yang akan dibayar kepada jurulatih dari Amerika Syarikat itu sebelum dia tiba di Malaysia bulan depan.

Untuk perkembangan lanjut, ikuti Nadi Arena jam 7.30 malam ini.