Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuannya mencabar keputusan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang melucutkan jawatannya sebagai ahli majlis badan induk itu.

Karim sanggup mengeluarkan kos besar untuk mencabar keputusan IAAF itu tetapi CAS mengekalkan keputusan badan itu yang melucutkan jawatan Karim sebagai ahli majlis mereka selepas didakwa terbabit dengan kes doping pada 2011.

Apa yang menarik, Karim akan tetap menjalankan tugas sebagai presiden KOM dan Persatuan Olahraga Asia.

"Saya dipilih oleh ahli-ahli dan akan berusaha selagi mampu. Terpulang kepada pihak majlis tertinggi kerana jika mereka ingin berikan peluang, saya akan terus sumbangkan tenaga untuk kemajuan sukan," katanya.

Kes doping 2011 menyaksikan pingat emas kuartet 4x400 meter negara dalam Sukan SEA pada tahun tersebut ditarik balik selepas pelari, Mohd Yunos Lasaleh, dikesan positif bahan terlarang.

Atlet itu mendakwa doktor dari Bulgaria yang dilantik KOM merupakan individu yang patut bertanggungjawab.

Buat masa ini, belum ada gerakan dalaman KOM bagi melancarkan undi tidak percaya terhadap Karim.

"Sebagai ketua, dia perlu menunjukkan perkembangan. Saya memberikan sokongan penuh kepada setiap keputusan oleh pihak majlis tertinggi," kata Presiden Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan, Datuk S. Vegiyathuman.