Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, bakal menerima tentangan paling sengit untuk mempertahankan jawatan apabila salah seorang ahli jawatankuasa eksekutif badan induk itu akan mencabarnya dalam mesyuarat agung tahunan (AGM), hujung bulan ini.

Wujud gerakan dalam kalangan pegawai KOM untuk menjatuhkan Karim.

Beberapa individu sudah menghantar borang pencalonan sebelum tarikh tutup Isnin ini dengan jawatan presiden dan timbalan presiden akan dicabar.

Lebih menarik, individu yang mencabar Karim ialah pegawai utama KOM sendiri.

"Saya sentiasa mendapat sokongan kuat dalam usaha mempertahankan jawatan presiden KOM, saya ingin menasihatkan supaya pihak yang berada dalam persatuan tidak seharusnya mengeluarkan berita-berita palsu kerana ia akan menjejaskan nama KOM," kata Karim.

Karim memegang jawatan presiden sejak 2014.

Dalam tempoh itu, pencapaian paling membanggakan merupakan lapan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kemunculan jaguh pecut, Khairul Hafiz Jantan.