Legenda skuasy negara, Datuk Nicol David, mengakhiri kariernya dalam sukan itu dengan kekalahan di tangan pemain nombor tiga dunia, Nour El Tayeb, dalam Terbuka British di University of Hull, England, kelmarin.

Juara dunia lapan kali dan juara Terbuka British lima kali itu tewas kepada pemain dari Mesir itu 11-4, 11-7, 11-13, 11-5, dalam perlawanan terakhirnya bagi menamatkan kariernya yang penuh gemilang selama 21 tahun dalam arena skuasy, yang diwarnai dengan banyak kenangan hebat.

Februari lalu, pemain berumur 35 tahun itu mengumumkan keputusannya untuk bersara selepas musim Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2018/19, dan menjadikan kejohanan kesukaannya, Terbuka British, sebagai kejohanan terakhir yang akan disertainya.

Ia adalah saat penuh nostalgia bagi Nicol yang memulakan kerjaya cemerlang dengan memenangi gelaran juara pertama dalam Terbuka British 2005 sebelum terus melangkah cemerlang untuk merangkul gelaran juara Kejohanan Dunia pada tahun yang sama, yang memahat sejarah tersendiri menduduki ranking teratas dunia selama sembilan tahun dari 2006 sehingga 2015.

“Terbuka British menjadi permulaan segalanya, dan kemenangan dalam kejohanan itu memberikan keyakinan kepada saya bahawa saya boleh menjadi salah seorang pemain terbaik dan seterusnya merangkul gelaran juara dunia,” katanya.

“Ketika itu saya masih belum pasti sehingga saya benar-benar mengharungi pengalamannya dan dengan peredaran masa, saya mulai memenangi Kejohanan Dunia buat kali kedua dan kemudian baru saya sedar semuanya bermula dalam Terbuka British. Sukar dipercayai, sudah hampir dua dekad berlalu,” katanya selepas perlawanan.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mula bermain skuasy pada umur lima tahun dan pernah merangkul tiga pingat emas Kejohanan Sukan Dunia, lima pingat emas Sukan Asia dan dua pingat emas Sukan Komanwel sepanjang 20 tahun mewakili negara.

Nicol yang menjadi pemain profesional pada tahun 2000 merupakan juara remaja dunia termuda semasa dia memenangi Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium, pada umur 15 tahun.

Dalam melangkah ke fasa baharu kehidupan, ikon terhebat negara itu kini berhasrat meneruskan sumbangannya di luar bidang sukan, terutama dalam usaha memberi motivasi dan memperkasakan wanita menerusi Yayasan Nicol David.

“Ketika ini saya berhasrat bekerjasama dengan Kejohanan Jelajah Wanita kerana saya lihat banyak potensinya untuk dikembangkan.

"Saya juga ingin melakukan sesuatu di tanah air sendiri menerusi yayasan saya bagi membantu lebih ramai wanita menceburi bidang sukan, menggunakan skuasy sebagai alat untuk memperkasakan lebih ramai wanita.

“Saya berharap dapat memberi motivasi kepada ramai menerusi taklimat-taklimat, menerusi cara yang betul… banyak perkara yang saya ingin lakukan, tidak sabar untuk ke fasa berikutnya,” katanya.

Terbuka British kali ini turut menampilkan suasana penuh emosi buat dua lagi pemain skuasy Inggeris kerana ia juga adalah kejohanan terakhir buat juara Terbuka British dua kali, Laura Massaro, dan bekas pemain nombor dua dunia, Jenny Duncalf.

Sementara itu, cabaran negara dalam kejohanan berkenaan berakhir selepas Low Wee Wern terkandas dalam perjalanannya apabila tewas 11-6, 11-4, 11-9 kepada pemain nombor lima dunia, Joelle King dari New Zealand.

-- BERNAMA