Selepas kontroversi melibatkan atlet negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, sukan itu terus panas dengan kewujudan masalah terbaru melibatkan isu antara ahli gabungan Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF).

MAKAF membuat keputusan untuk menggantung lima ahli gabungannya yang didapati melanggar peraturan dalam badan itu.

Keputusan itu dilihat bakal memberi kesan kepada perancangan 12 ahli gabungan bagi mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Perak pada 9 Jun ini.

Selepas keputusan itu dicapai MAKAF dalam mesyuarat exco dan majlis tertinggi di Melaka, wakil ahli gabungan dari Putrajaya, P. Thiagu, berkata: "Kami mengetahui situasi ini daripada akhbar tempatan di mana MAKAF akan beri surat tunjuk sebab mengenai tingkah laku kami.

"Tindakan MAKAF mahu menggantung atau membatalkan keahlian itu adalah sesuatu yang tidak adil kerana tuntutan kami sebelum ini masih belum dijawab. Kami hantar surat pertama pada Februari 2019 dan dijawab pada 23 Mei lalu.

"Surat-surat yang dikeluarkan oleh MAKAF itu tidak mengikut perlembagaan. Kami telah menyediakan satu dokumen dan akan diserahkan kepada MAKAF serta peguam kami bagi melanjutkan perkara ini."

"EGM di Perak juga tetap akan dijalankan 9 Jun depan kerana kami telah mendapat sokongan daripada 12 ahli gabungan yang sah, malah keputusan itu tidak akan berubah," tambahnya.

Lebih pendedahan dan perkembangan akan disiarkan melalui Nadi Arena pada jam 7:30 dan 11 malam ini.