Biarpun dipalit beberapa kontroversi sepanjang tahun ini, skuad karate negara membuktikan mereka masih cabang sukan yang relevan untuk diletakkan sebagai sandaran pingat emas apabila bukan sahaja melepasi sasaran, malah muncul juara keseluruhan dengan empat pingat emas dalam Sukan SEA Filipina yang berakhir kelmarin.

Skuad karate negara turun ke Manila tanpa taruhan utama, Syakilla Salni Jefry Krisnan, yang mengumumkan persaraannya September lalu.

Namun, mereka seakan-akan tidak tergugat apabila S. Prem Kumar, P. Madhuri dan R. Sharmendran meraih emas dalam acara kumite kategori masing-masing selain satu pingat emas yang disumbangkan skuad kata berpasukan lelaki yang dibarisi Emmanuel Leong, Ivan Oh dan Thomson Hoe.

Ia melepasi sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dalam temasya itu

"Kami gembira kerana sudah mencuba sedaya-upaya untuk mendapatkan pingat emas.

"Kami berlatih dengan amat kuat, jadi kami amat gembira untuk melepasi sasaran ini," kata jurulatih skuad negara, S. Mahendran.

Biarpun edisi di Filipina hanya mempertandingkan 13 acara, Malaysia masih boleh berbangga dengan pungutan empat emas itu bagi mengekalkan status juara keseluruhan sejak edisi di Naypyitaw pada 2013.

"Pasukan Malaysia mendapat empat pingat emas dan ia membuktikan kami masih lagi kuasa besar di Asia Tenggara.

"Saya berharap semua pihak dapat terus memberikan sokongan dan komitmen terhadap karate," tambah anggota skuad kata berpasukan, Emmanuel.