Demi masa depan sukan karate, Persatuan Karate-Do Pahang (KARAPAH) meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, agar campur tangan dalam menyelesaikan isu penggantungan sementara persatuan itu daripada badan induk sukan berkenaan, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), sejak lebih setahun lalu.

Presiden KARAPAH, Kevin Ramesh, berkata akibat penggantungan itu, ahli persatuan tidak dibenarkan mengundi dalam mesyuarat agung dwitahunan (BGM) MAKAF yang akan diadakan bulan depan.

"KARAPAH diterima sebagai ahli gabungan MAKAF pada 2009. Namun, tanpa dijangka pihak kami menerima surat daripada pihak MAKAF yang mengambil tindakan untuk menggantung KARAPAH pada 1 Jun 2017.

"Penggantungan ini juga tidak adil kerana tiada sebarang surat tunjuk sebab diberi kepada pihak kami," katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, isu bermula apabila Jawatankuasa KARAPAH memutuskan menerima Persatuan Karate Hayashi-Ha Pahang dan Persatuan Karate Daerah Bentong untuk bergabung dengan KARAPAH pada 2017 demi pembangunan sukan karate di Pahang.

Beliau, bagaimanapun, berkata penerimaan ahli gabungan baru itu tidak disokong Setiausaha Agung MAKAF, Vincent Chen, yang juga merupakan penasihat KARAPAH ketika itu.

Menurutnya, akibat penggantungan itu, pihak persatuan juga tidak dapat berkembang untuk menyumbang ke arah pembangunan sukan berkenaan di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

"Malah, atlet-atlet remaja kami yang berpotensi juga tidak berpeluang mewakili negara," katanya.

Susulan itu, Kevin berkata Mesyuarat Exco MAKAF menyerahkan kepada SAC Sulaiman Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat perkara tersebut.

"Kami dan Jawatankuasa Disiplin MAKAF mengadakan perjumpaan pada 9 Ogos lepas di Majlis Sukan Pahang. Dalam perjumpaan itu, kami mengemukakan segala dokumen dan bukti kepada panel tersebut," katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Disiplin MAKAF juga membentangkan isu tersebut dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi MAKAF di Melaka, 21 September lalu.

"Dalam mesyuarat itu, Jawatankuasa Disiplin MAKAF mengesyorkan penggantungan KARAPAH adalah tidak sah. Namun, keputusan itu tidak diterima Jawatankuasa Exco MAKAF dan ditolak serta dicadang untuk perbincangan semula dalam mesyuarat Exco akan datang selepas pemilihan ahli jawatankuasa MAKAF yang baru nanti.

"Ini tidak adil kerana selagi penggantungan itu tidak ditarik balik oleh MAKAF, maka KARAPAH tidak boleh mengundi dalam pemilihan MAKAF yang akan diadakan pada 28 Oktober ini. Jelas terbukti, ia lebih bersifat mala fide (niat jahat) bagi menghalang ahli persatuan daripada mengundi dalam BGM MAKAF nanti," katanya.

-- BERNAMA