Ketua jurulatih skuasy negara, Peter Genever, mengharapkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), memanfaatkan sebaik mungkin pengalaman yang dimiliki Datuk Nicol David apabila ratu skuasy negara itu bersara Jun depan.

Perjalanan karier Nicol menyaksikannya dua kali muncul sebagai juara remaja dunia sebelum mendominasi arena skuasy antarabangsa dalam tempoh sembilan tahun yang disudahkan dengan luahannya untuk bersara pada penghujung musim ini, iaitu pada usia 36 tahun.

Menganggap ia satu kehilangan besar buat sukan skuasy negara, Genever percaya Nicol akan terus membabitkan diri walaupun menerusi kapasiti yang berbeza.

Katanya lagi, tidak mustahil Nicol dapat membantu pemain-pemain muda negara dalam melalui apa yang pernah diharunginya dahulu sehingga bergelar juara dunia lapan kali.

"Dia telah banyak berbakti untuk sukan di Malaysia.

"Saya berharap dia akan terus membabitkan diri dalam skuasy menerusi peranan yang berbeza.

"Selepas ini dia akan mempunyai lebih banyak masa terluang, tambahan pula dia mempunyai ramai kenalan.

"Masih banyak yang boleh ditawarkannya, terutama daripada segi kejurulatihan mahupun pembimbing.

"Kita kena pastikan supaya Nicol terus terbabit dalam kancah sukan Malaysia, terutama skuasy," ujar jurulatih dari England itu.

Selepas Nicol, sandaran negara selepas ini akan terletak di bahu Low Wee Wern dan S. Sivasangari di samping beberapa lagi bakat muda yang boleh digilap ke peringkat yang lebih tinggi.