Pemangku ketua jurulatih terjun negara, Zhang Yukun, terkejut dengan dakwaan anak buahnya berfoya-foya ketika kem latihan di China, Februari lalu, dan menyerahkan isu itu kepada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk diambil tindakan.

Beberapa penerjun negara didakwa berfoya-foya ketika malam sambutan Tahun Baru Cina, Februari lalu.

Ketika itu, mereka berada di China untuk kem latihan dan menyertai kejohanan luar negara.

Yukun ternyata kecewa, apatah lagi Sukan Asia Indonesia hanya berbaki kurang dua bulan sahaja lagi.

"Pegawai MSN (Majlis Sukan Negara) masih lagi bercuti dan saya percaya mereka turut akan menyiasat perkara ini secepat mungkin. Saya serah kepada MSN dan ASUM untuk tindakan lanjut," kata Yukun.

Isu itu turut menarik perhatian bekas pengendali negara yang ditamatkan kontrak, Yang Zhuliang, Disember tahun lalu dan beliau mendakwa ia menjejaskan reputasi hebat skuad terjun yang dibina sejak sedekad lalu.

"Kali ini mereka terbabit dengan kes mabuk dan perbuatan lucah, ia bukan perbuatan yang baik.

"Saya sudah menonton rakamannya, saya merumuskan ia kelakuan yang sangat buruk," kata Zhuliang.