Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, berpeluang menamatkan kemarau 17 bulan tanpa sebarang kejohanan apabila dijadualkan menyertai Grand Prix (GP) FINA di Sepanyol dan Jerman bulan depan sebelum kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jun Hoong pulang ke Malaysia selepas dua bulan berlatih di China.

Juara dunia 2017 itu mendapat sentuhan bekas pengendali negara, Yang Zhuliang, dan dijangka mampu merebut tiket ke Olimpik Tokyo dalam acara 10 meter platform individu.

Jika penerjun kelahiran Perak itu beraksi di Sepanyol dan Jerman, ia akan menjadi penanda aras untuk Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) memilih dua penerjun terbaik mengisi slot acara itu ke kelayakan Olimpik.

"Setakat ini saya rasa bagus dan dalam masa sama, saya ada lakukan senaman untuk mengekalkan kecergasan dan elak kecederaan jadi lebih teruk.

"Jurulatih faham mengenainya. Saya sudah lama tidak sertai latihan sebelum ini, jadi saya hanya memulihkan diri dalam dua bulan. Dalam tempoh itu, tidak boleh kata apa-apa, kena tunggu beberapa bulan lagi," katanya.

Buat masa ini, empat penerjun negara, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri, sudah layak ke Olimpik Tokyo.

Sukan Olimpik Rio 2016 menyaksikan Malaysia meraih perak acara 10m platform seirama menerusi gandingan Pandelela-Jun Hoong.



Editor: Nafis Abdullah