Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, menolak andaian gelaran juara Sukan Komanwel akan meletakkannya sebagai pilihan dalam Siri Terjun Dunia Ketiga di Montreal, Kanada, minggu depan kerana saingan itu jauh lebih sukar.

Gelaran juara Sukan Komanwel mengukuhkan lagi reputasi Jun Hoong-Pandelela Rinong dalam acara 10m platform terjun seirama.

Namun, bukan mudah untuk menjuarai Siri Dunia yang hanya membabitkan lapan penerjun ranking terbaik dunia.

Saingan itu ibarat kejohanan dunia yang menyaksikan dominasi pasangan China, Zhang Minjie-Zhang Jiaqi.

"Sewaktu di Gold Coast, persaingan adalah berbeza. Bukan semua pencabar daripada Kejohanan Siri Dunia berada dalam Sukan Komanwel 2018.

"Apabila kembali ke sini pun, jadual agak padat, perlu balik ke universiti untuk menduduki ujian. Jadi, saya sedang berusaha keras untuk menyesuaikan diri dengan segala keadaan," ujar Jun Hoong.

Hanya empat penerjun wanita negara terbabit dengan Siri Dunia -- dua lagi slot diisi oleh Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri, dengan mereka dijadual berlepas ke Montreal pada Isnin ini.

"Bagi saya, setiap pertandingan adalah permulaan yang baru dan tidak kira di mana sahaja, ia tetap memberikan cabaran yang berbeza. Saya cuma boleh meneruskan langkah dan menyesuaikan diri dengan keadaan pertandingan seperti jenis kolam dan persekitaran venue.

"Saya tidak akan memberi tekanan yang terlalu tinggi kepada diri sendiri," ujarnya.