Pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, memberi jaminan akan lebih bijak mengawal emosinya dalam Kejohanan Dunia 2018 di Singapura selepas insiden ketika Sukan Asia Indonesia lalu selain mengharapkan pengadilan yang lebih telus.

Aksi final Sukan Asia yang penuh kontroversi masih memberi kesan mendalam kepada Jufferi selagi misi membalas dendam belum dilunaskan.

Kejohanan Dunia di Singapura bulan depan menjadi landasan terbaik untuk juara dunia tiga kali itu menebus kembali maruah yang tercalar.

Janji Jufferi adalah untuk memastikan persaingan di gelanggang berlangsung dengan adil tanpa terbit rasa emosi yang keterlaluan

"Saya mengharapkan dapat bertemu lawan sama ketika final Sukan Asia 2018 untuk mencuba sekali lagi dan melihat keputusan terbaru serta terbaik daripada barisan juri. Diharapkan kejohanan ini menjadi aksi yang telus tanpa provokasi daripada wasit dan juri," katanya.

Ketua jurulatih silat negara, Nasri Nasir, sudah memuktamadkan 21 pesilat yang akan menggalas cabaran dengan sasaran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk memastikan Malaysia berada di kedudukan tiga terbaik secara keseluruhan.

"Sebenarnya, saya memang mengharapkan sesuatu, terutama sekali akan ada penampilan daripada barisan pesilat baru yang tidak kurang hebat. Jadi, tunggu dan lihat. Diharapkan mereka menampilkan aksi maksimum seperti diharapkan," ujar Nasri.