Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, kecewa apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak menawarkan jawatan pengendali kebangsaan kepada Josiah Ng walaupun sudah melabur jutaan ringgit untuk membentuknya menjadi Olimpian.

PKBM dan MSN sepatutnya merebut peluang untuk mendapatkan khidmat Josiah yang sudah meletak jawatan sebagai pengendali skuad berbasikal trek Thailand.

Apatah lagi, badan induk itu sudah mengeluarkan kos besar dalam membentuk Josiah hingga meraih pingat emas Sukan Komanwel 2010 selain tiga kali layak ke Sukan Olimpik.

Ini juga akan menggambarkan bagaimana negara membalas jasa bekas atlet kebangsaan.

"MSN seharusnya mendengar keinginan Josiah kerana dia merupakan seorang yang memiliki pengalaman dalam membentuk atlet berbasikal trek negara," kata Joo Ngan.

Josiah merancang membuka sebuah akademi basikal di Lembah Klang, Mac depan selepas gagal menyertai barisan kejurulatihan kebangsaan.

Sementara itu, Joo Ngan menyambut Tahun Baru Cina di kediaman anaknya di Segambut, Kuala Lumpur.

Pemenang pingat emas acara lebuh raya Sukan Asia 1970 itu masih menjalankan perniagaan berasaskan basikal dengan memiliki beberapa cawangan kedai di sekitar Lembah Klang.