Jonathan mahu selesaikan pengajian terlebih dahulu

Oleh Staff Writer 18 Mei 2018 1935
Jonathan mahu selesaikan pengajian terlebih dahulu
Hasrat kuartet 4x100 meter lelaki negara untuk mengutamakan keberkesanan menerusi tempoh latihan lebih panjang tergendala ekoran memberi laluan kepada Jonathan Nyepa yang akan menduduki peperiksaan akhir semester pada bulan depan.

Jika mengikut perancangan ketua jurulatih, Zainal Abas, semua pelari pecut negara perlu dihimpun sebaik tamat saingan Terbuka Malaysia minggu lalu.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak berlaku kerana membuka laluan buat Jonathan yang mahu menamatkan peperiksaan semester empat bagi pengajian ijazah di Universiti Putra Malaysia (UPM) terlebih dahulu.

Tiada istilah tangguh pelajaran buat Jonathan memandangkan dia  memerlukan masa lebih kurang sebulan sahaja lagi untuk pengajiannya, sebelum dia memberi tumpuan penuh untuk persediaan ke Sukan Asia pada Ogos.

"Saya masih akan menunggu di sini kerana kelas mungkin akan tamat pada awal Jun dan kemudian baru boleh memikirkan mana-mana sesi latihan.

"Saya tidak akan menangguhkannya kerana ia hanya berbaki tiga minggu," kata Jonathan.

Masih belum ada sebarang program khusus daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi persediaan menjelang Sukan Asia, Jonathan mahu memastikan prestasi dalam Sukan Komanwel dapat dikekalkan.

"Kami masih berpeluang untuk memperbaiki catatan masa, termasuk untuk memecahkan rekod kebangsaan. Jadi, hanya menunggu masa yang tepat untuk menggabungkan kesemua latihan," ujarnya.

Kuartet negara melakukan catatan 39.37 saat di Gold Coast dengan hanya tempoh latihan bersama selama seminggu, hampir memecahkan rekod kebangsaan 39.27s yang dicatat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen