JMFR jangka 1,400 penyertaan

Oleh Staff Writer 26 April 2019 223
JMFR jangka 1,400 penyertaan
Janamanjung Fellowship Ride (JMFR), yang merupakan acara berbasikal tahunan anjuran TNB Janamanjung, akan memasuki edisi ke-12 dengan penyertaan yang turut melibatkan peserta dari seluruh dunia.

Seramai 1,400 peserta dijangka akan mengambil bahagian dalam perlumbaan Ahad ini dengan TNB menganggap ia sebagai salah satu daripada tanggungjawab korporat mereka dalam usaha untuk membuktikan bahawa sukan dapat menyatukan masyarakat.

"Perlumbaan ini mempunyai signifikan dengan peringkat antarabangsa kerana selain daripada aspek teknikal, kami juga memberikan fokus terhadap tanggungjawab sosial korporat.

"Kami mempunyai usaha dalam aspek pendidikan, akademik dan persekitaran, jadi sukan juga sebahagian daripada aktiviti kami dan kerana itu, kami menyokong usaha untuk menganjurkan perlumbaan berbasikal seperti ini," kata Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek.

Selain itu, bekas pelumba negara, Josiah Ng, dan pemain hoki TNB Thunderbolts akan hadir sebagai tetamu jemputan bagi memeriahkan perlumbaan itu.

"Tahun ini, kami juga akan membawakan bekas pelumba yang cukup gah di negara kita, Josiah Ng.

"Penyertaan bagi tahun ini hampir mencecah 1,400 peserta dan kami berharap dengan adanya perlumbaan ini, ia akan menambahkan kerancakan sukan di negara ini kerana semua orang dapat menyertainya," kata Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen