Gimnas lelaki negara, Chau Jern Rong, terkilan dengan kecederaan yang memaksanya melupakan Kejohanan Gimnastik Terbuka Singapura yang didominasi dua rakan sepasukan, Jeremiah Loo dan Tang Fu Jie.

Saingan Terbuka Singapura 1-3 Jun lalu sepatutnya menjadi persiapan bagi Jern Rong untuk menghadapi Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Selain Jeremiah dan Fu Jie, gimnas lain perlu merebut peluang untuk menyertai kejohanan kompetitif sambil pakar palang tunggal, Jern Rong, difahamkan sedang menangani kecederaan otot di bahu kirinya.

"Otot bahu saya terkoyak sedikit tetapi saya akan cergas dalam kejohanan akan datang, namun saya perlu menjalani rawatan," katanya.

Dalam Terbuka Singapura, Jeremiah cemerlang dalam tiga acara, termasuk saingan all around.

Sementara itu, Fu Jie memastikan dia kekal sebagai gimnas terbaik Asia Tenggara apabila mengungguli aparatus kekuda berpelana.

Keputusan itu menjadi dorongan buat Jern Rong dalam memastikan kecergasan untuk menghadapi Kejohanan Asia di Mongolia, bermula Rabu depan.

"Saya gembira dengan pencapaian rakan-rakan yang lain.

"Kalau saya menyertainya, saya pasti hanya akan menyasarkan pingat emas.

"Saya terkilan kerana sudah dua tahun saya terlepas kejohanan itu tetapi ia hanyalah medan mengukur kemampuan dan yang paling penting adalah Kejohanan Asia," katanya.