Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Yusof Abdul Nasir, tidak mahu meletakkan sebarang tekanan buat barisan pelumbanya dalam perlumbaan Jelajah Semenanjung bulan depan.

Baginya, perlumbaan itu hanya akan menjadi medan persediaan dan penilaian prestasi atlet sebelum Sukan SEA Filipina, November depan.

"Ia adalah untuk persiapan ke Sukan SEA.

"Jadi, dalam Jelajah Semenanjung itu, kami memang nak cari kekuatan, jarak perjalanan dan nak tengok tahap kami di peringkat Asia Tenggara.

"Dalam masa sama, kami akan cuba untuk memenangi perlumbaan dan menilai prestasi pelumba," katanya.

Jelajah Semenanjung mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di bawah kategori UCI 2.1 dengan jarak keseluruhan sejauh 850.7 kilometer.

Antara pasukan yang telah mengesahkan penyertaan adalah pasukan kebangsaan Malaysia dan dua pasukan probenua negara, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC).

"Setiap perlumbaan yang kami sertai mesti kami akan meletakkan sasaran.

"Sasaran kami adalah untuk mendapatkan yang terbaik.

"Dalam masa sama, kami bukan hanya nak tengok pelumba daripada pasukan kebangsaan sahaja.

"Kami juga nak tengok prestasi pelumba daripada pasukan TSC dan TSG.

"Kami mahu menyenaraikan mereka dalam setiap acara yang ada dalam Sukan SEA nanti," tambahnya.