Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, mahu mempertahankan jersi biru selaku raja pecut Jelajah Semenanjung dalam perlumbaan peringkat terakhir esok.

Nur Amirul, yang muncul juara peringkat ketiga dari Kuantan ke Karak semalam untuk memenangi tiga jersi utama, jersi kuning (pendahulu keseluruhan), jersi biru dan jersi putih (terbaik Asia), hanya mampu mempertahankan jersi biru hari ini, dengan berbaki tiga zon pecutan esok.

Dalam peringkat keempat yang menyaksikan pendakian dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands sejauh 89.5 kilometer, dia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-68, 13 minit dan 32 saat di belakang pemenang, Marcos Garcia dari Kinan Cycling Team, yang mencatatkan 2 jam 21 minit dan 12 saat.

Keputusan itu menyaksikan Nur Amirul kehilangan jersi kuning kepada pelumba Sepanyol berusia 32 tahun itu yang kini selesa di kedudukan teratas dengan kelebihan 3:02s berbanding pencabar terdekatnya, Igor Chzhan dari pasukan Vino-Astana Motors dengan catatan masa 13:39:41s, manakala Amirul berada di tempat ke-44 dengan ketinggalan 13:12s.

Pelumba berusia 27 tahun itu turut hilang jersi putih kepada pelumba Kazakhstan, Chzhan, manakala harapan untuk mengekalkan jersi biru pula boleh dikatakan tinggal nyawa-nyawa ikan apabila terikat 44 mata bersama pelumba Afrika Selatan, Rohan du Plooy dari pasukan Protouch.

Selepas dua zon pecutan di Kampung Tiat dan Kampung Leryar pada bahagian awal perlumbaan hari ini, pelumba TSG itu berkongsi mata selepas Rohan meraih tiga mata tetapi pelumba Malaysia itu dipilih sebagai penyandang jersi berdasarkan keputusan penamatan.

“Jika lihat pada laluan esok, saya rasa kemungkinan besar tiada perubahan untuk jersi kuning. Tetapi untuk jersi biru, apa-apa boleh berlaku, jadi kami (TSG) akan cuba pertahan dan kekalkan jersi ini.

“Saya dapat pertahankan jersi biru hari ini kerana rakan sepasukan saya berada di hadapan untuk kacau mata kerana Rohan telah ke hadapan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Pemenang keseluruhan dan jersi utama bakal diketahui esok selepas peringkat kelima dari Dataran Lipis, Kuala Lipis ke Wangsa Walk Mall, Setiawangsa sejauh 151.4km, dengan zon pecutan di Raub, Bentong dan Gombak, serta pendakian di Bentong (Kategori 4) dan Genting Sempah (Kategori 2).

Sementara itu, seorang lagi pelumba TSG dan pakar pecut, Mohd Harrif Saleh, gagal menamatkan perlumbaan hari ini kerana keracunan makanan, sekali gus tidak layak untuk beraksi esok.

-- BERNAMA